SIARAN AKHBAR

Digital Nasional Berhad Sedia Melancarkan Rangkaian 5G Negara Menjelang Akhir 2021

01 Julai 2021

Digital Nasional Berhad Sedia Melancarkan Rangkaian 5G Negara

Digital Nasional Berhad (DNB) mengumumkan kerjasama dengan Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd (Ericsson) hari ini untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian generasi kelima (5G) Malaysia serta ekosistemnya di seluruh negara. Pengumuman ini menyempurnakan proses tender yang dimulakan pada bulan Mac lepas.

Sebagai satu daripada empat (4) teras yang dikenal pasti di bawah pelan transformasi digital Malaysia, MyDIGITAL, rangkaian 5G bakal menjadi tunjang keterhubungan negara dan batu loncatan yang membolehkan Malaysia mencapai wawasan membina masa depan terhubung di samping menjadi peneraju ekonomi digital serantau. Tambahan lagi, rangkaian ini juga dijangka menjadi pemangkin bagi meningkatkan pelaburan dalam produk dan perkhidmatan yang berkaitan, demi menyokong kira-kira 100,000 pekerjaan baru yang bakal dicipta dalam pelaksanaan rangkaian dan teknologi tersebut.

DNB telah menggunapakai pendekatan di mana Perekaan dan Pembangunan Rangkaian 5G Nasional akan dilaksanakan oleh Ericsson pada kos berjumlah RM11 bilion, termasuk sewa menara dan pajakan gentian, yang mana kira-kira 60% daripadanya akan memanfaatkan kontraktor Bumiputera serta kontraktor tempatan lain sepanjang tempoh 10 tahun akan datang. Ericsson akan mengatur pembiayaan bagi bekalan, penghantaran dan pengurusan seluruh rangkaian 5G. DNB akan menerbitkan sekuriti masa depan daripada perniagaan borongnya melalui pelaburan dalam bentuk Sukuk untuk membiayai semua perbelanjaan operasi rangkaian lain dan membayar balik semua pembiayaan vendor yang telah diatur.

Ericsson pula akan mengendalikan reka bentuk dan pembangunan rangkaian 5G serba lengkap yang terdiri daripada rangkaian teras, akses radio dan pengangkutan (RAN), sistem sokongan operasi dan perniagaan (OSS/BSS) dan perkhidmatan terurus. Ericsson juga akan melaksanakan program membina kapasiti dan inovasi untuk menyokong pembangunan dan penyertaan vendor tempatan, dan juga meningkatkan penggunaan 5G di kalangan orang ramai. Selain itu, lebih banyak bentuk penggunaan akan dibangunkan untuk menggalakkan penyertaan industri.

Dato’ Asri Hamidon, Pengerusi DNB berkata, “DNB berada pada landasan yang betul dalam usahanya untuk membawa teknologi dan penyelesaian terbaik yang harga berpatutan bagi menggalakkan penggunaan 5G di seluruh negara. Saya mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan para Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) atas sokongan dan kerjasama berterusan mereka.”

Beliau menekankan tiga (3) keutamaan DNB: Pertama adalah untuk menggalakkan penyertaan dan pelaburan asing dan swasta di Malaysia; kedua, untuk mengelakkan dan mengurangkan penduaan infrastruktur; ketiga, untuk memastikan rangkaian ini kalis masa depan dan menyokong industri telekomunikasi tempatan sambil menjana nilai sosioekonomi.

Model kerjasama ini juga akan menggiatkan pelancaran ke Sabah dan Sarawak, dalam membolehkan negara untuk segera menyediakan perkhidmatan dan sambungan 5G yang dipertingkatkan dan terangkum di bawah Rangka Tindakan MyDIGITAL.

Dato’ Asri menambah, “Matlamatnya ialah untuk menghasilkan kemakmuran terangkum buat rakyat menerusi rangkaian 5G. Kita mampu mencapai matlamat ini dalam dua peringkat: Pertama dengan membawa manfaat serta-merta kepada ekosistem vendor tempatan. Malah kesan positif ini diperkukuhkan oleh aktiviti penciptaan nilai komited oleh Ericsson dalam ekonomi berasaskan pengetahuan di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif, seperti program membina ilmu dan pemindahan teknologi berkaitan 5G, yang dianggarkan bernilai RM4 bilion sepanjang tempoh kontrak. Kedua adalah dengan menyediakan liputan meluas dengan membawa perkhidmatan 5G ke kawasan sasaran menjelang akhir tahun 2021, seterusnya mencapai sasaran liputan 80% penduduk pada tahun 2024.”

5G akan dilancarkan menjelang akhir 2021 di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Cyberjaya. Menjelang 2022, DNB akan mula menyediakan perkhidmatan 5G ke lima (5) bandar raya dan daerah utama di negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak; dan selepas itu, ke seluruh negara untuk mencakupi 17 bandar raya dan juga kawasan pendalaman mulai 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson, Börje Ekholm berkata, “Ericsson berbesar hati untuk berganding bahu dengan DNB bagi melaksanakan rangkaian 5G di Malaysia. Kelajuan sambungan lebih pantas, tahap kependaman sangat rendah, serta juga lebar jalur lebih besar 5G bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih akan membolehkan Malaysia merapatkan jurang digital dengan pantas. Sebagai wadah inovasi, 5G juga akan membolehkan usahawan Malaysia untuk mencipta aplikasi masa depan dapat memberi manfaat kepada pengguna dan perniagaan di negara ini. Bagi mencapai matlamat ini, kami berganding bahu dengan DNB untuk menubuhkan Makmal Pengalaman dan Inovasi 5G, dengan matlamat menambah bentuk penggunaan 5G.

Dengan pengalaman Ericsson membangunkan industri teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia sejak 1965, kepakaran penyelesaian 5G dan pengalaman global kami dalam melaksanakan 86 rangkaian 5G secara langsung sebelum ini serta pengetahuan yang mendalam tentang pasaran adalah kelebihan yang kami bawakan kepada kerjasama ini. Kerjasama ini akan membolehkan kami mengukuhkan kedudukan kami di Malaysia dan meningkatkan sumbangan kami kepada usaha membangunkan negara, mempelopori inovasi teknologi di samping membuka peluang pekerjaan lebih luas di Malaysia. Bersama-sama, Ericsson dan DNB akan membina infrastruktur 5G yang lebih selamat dan berdaya tahan bagi memastikan Malaysia mampu mencapai cita-cita ekonomi digital dengan lebih pantas, seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan MyDIGITAL.”

Ralph Marshall, Ketua Pegawai Eksekutif DNB berkata, “DNB melaksanakan amalan terbaik industri global, yang membolehkannya menguruskan risiko dan prestasi dengan lebih cekap. Di samping cadangan teknikal dan komersial, komitmen sosioekonomi jangka panjang juga menjadi dimensi penting dalam proses penilaian. Kunci kepada pelaksanaan rangkaian 5G kami di seluruh negara ialah memastikan pendekatan ini terus berdaya maju.

DNB akan bekerjasama dengan MNO untuk mengenal pasti perniagaan-perniagaan terkhusus utama, untuk sama-sama mencipta aplikasi unik, berdaya tahan, dengan hak cipta sendiri bagi segmen pengguna, perusahaan dan kerajaan. Pada masa yang sama, kami akan menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan teknologi untuk menyokong dan membolehkan fungsi perniagaan dan kerajaan, membuka peluang baru dan paling penting, memenuhi keperluan pelanggan yang kian berubah.”

Tumpuan akan diberikan kepada tiga perkhidmatan penting, iaitu Jalur Lebar Mudah Alih Dipertingkatkan (Enhanced Mobile Broadband atau eMBB), Komunikasi Kependaman Rendah Kebolehpercayaan Tinggi (Ultra-reliable, low latency communication atau URLLC) dan komunikasi jenis mesin besar-besaran (massive machine type communications atau mMTC) – yang disasarkan kepada sektor perindustrian Malaysia termasuk minyak dan gas, pelabuhan, lapangan terbang, perkhidmatan kerajaan, penjagaan kesihatan, kuasa dan utiliti, pengilangan, perbankan dan kewangan, pendidikan, peruncitan dan pertanian. Satu lagi faktor penting ialah keperluan melindungi pengguna dan platform dengan meningkatkan tahap keselamatan, yang merupakan antara elemen kritikal bagi teknologi dan perkhidmatan 5G.

Kongsi

Kongsi

Bilik Berita DNB

Berita terkini dari kami

Liputan 4G seluruh negara cecah 94 peratus - MCMC

Liputan 4G seluruh negara cecah 94 peratus - MCMC

Asyraf: Lima sebab projek mega berimpak tinggi wajar diteruskan

Asyraf: Lima sebab projek mega berimpak tinggi wajar diteruskan

Kerjasama 5G Ericsson-Digital Nasional tepat pada masa, selari dengan objektif RMK12

Kerjasama 5G Ericsson-Digital Nasional tepat pada masa, selari dengan objektif RMK12