BERITA

Kerjasama 5G Ericsson-Digital Nasional tepat pada masa, selari dengan objektif RMK12

30 September 2021

Kerjasama 5G Ericsson-Digital Nasional tepat pada masa, selari dengan objektif RMK12

Artikel ini diterbitkan buat kali pertama di Bernama.com, 30 September 2021.

KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Perkongsian antara Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd and Digital Nasional Bhd untuk melancarkan rangkaian generasi kelima (5G) ke seluruh negara dijangka dapat memenuhi objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memastikan ekonomi digital muncul sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara.   

Memandangkan teknologi 5G akan dilancarkan pada akhir 2021, ia akan menyediakan platform bagi ekonomi digital untuk merapatkan jurang digital, mengembang dan menyumbang 25.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan RMK12.

Ralph Marshall, Ketua Pegawai Eksekutif DNB berkata syarikat itu komited untuk menyediakan peluang teknologi dan inovasi terbaik bagi rakyat Malaysia, perniagaan dan kerajaan untuk memastikan negara dapat menerajui ekonomi digital global. 

"Kami mengenal pasti Ericsson untuk menawarkan teknologi 5G generasi seterusnya yang terbaik dan perkhidmatan profesional yang tersedia bagi memenuhi keperluan khusus dan unik DNB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

David Hägerbro, Ketua Ericsson bagi Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh berkata 5G adalah platform bagi inovasi terbuka dan menjadi asas untuk membina daya saing negara.

"Komitmen Malaysia dan DNB untuk mempercepat pelaksanaan 5G akan mempercepat penerimaan pakai 5G di seluruh negara, merapatkan jurang digital dan mentransformasikan negara. 

"5G akan membantu memudahkan hasrat kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjadi pencipta teknologi menerusi pembangunan aplikasi dan sistem perisian,” katanya. 

Beliau berkata dengan legasi 56 tahun menyumbang kepada pembangunan Malaysia, penerajuan 5G global Ericsson dan keupayaan penggunaan kukuh, akan memenuhi sasaran penggunaan yang ditetapkan oleh DNB.

Malaysia dan ekonominya bakal meraih manfaat daripada perkongsian 5G selama 10 tahun antara  Ericsson dan DNB kerana ia akan memacu penggunaan teknologi selular tanpa wayar generasi seterusnya di negara ini. 

Lebih-lebih lagi, kepantasan, kependaman rendah dan keupayaan pengendalian data besar 5G akan mentransformasikan negara secara digital, selain mewujudkan ekosistem 5G yang akan memperkasa inovasi dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan automasi dalam perusahaan, industri dan sistem perisian Internet Pelbagai Benda (IoT) pelbagai sektor.

Dengan menggunakan keupayaan 5G dan mempercepat penggunaan rangkaian dan ekosistem 5G di seluruh negara, Ralph berkata DNB akan menyediakan akses dan perkhidmatan kepada penyedia perkhidmatan mudah alih dan lain-lain yang dilesenkan oleh pengawal selia, untuk membolehkan penyediaan 5G bertaraf dunia dan menjadikan Industri 4.0 satu realiti di Malaysia.

Penyertaan Ericsson dalam projek 5G nasional akan menyaksikan sumbangan sosioekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam bahagian seperti mewujudkan pekerjaan, perkongsian dengan kontraktor Bumiputera dan tempatan lain serta pemain ekosistem dan pembinaan pengetahuan dan kapasiti di Malaysia. 

Ralph berkata DNB dipertanggungjawabkan untuk membantu Malaysia mencapai aspirasi digitalnya seperti yang digariskan dalam rangka tindakan MyDIGITAL kerajaan yang menyasar untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dipacu digital serta peneraju dalam kandungan digital, keselamatan siber dan ekonomi digital di rantau Asia Tenggara.

DNB juga menyokong pemodenan rangkaian mudah alih negara sebagai sebahagian daripada pelan prasarana digital negara, Jalinan Digital Negara (JENDELA), bagi memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki sambungan internet berkualiti.

DNB menyasar melancarkan rangkaian 5G pertama Malaysia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya pada fasa awal. Penggunaan kepakaran Ericsson merupakan kunci bagi memenuhi sasaran DNB untuk mencapai liputan 80 peratus 5G bagi penduduk di seluruh negara menjelang 2024. 

Ericsson, peneraju global 5G dengan 97 rangkaian 5G beroperasi di 46 negara, membantu perniagaan memulakan usaha pendigitalan, meningkatkan kecekapan dan mencari arus pendapatan baharu, yang mana merupakan antara strategi dalam RMK12 yang diperlukan Malaysia untuk keluar daripada krisis ekonomi ketika ini. 

-- BERNAMA

Bilik Berita DNB

Berita terkini dari kami

Liputan 4G seluruh negara cecah 94 peratus - MCMC

Liputan 4G seluruh negara cecah 94 peratus - MCMC

Asyraf: Lima sebab projek mega berimpak tinggi wajar diteruskan

Asyraf: Lima sebab projek mega berimpak tinggi wajar diteruskan

Akses internet sebagai hak asasi manusia jadi pemacu utama KKMM dalam RMKe-12

Akses internet sebagai hak asasi manusia jadi pemacu utama KKMM dalam RMKe-12