Kelebihan 5G Perusahaan
Perusahaan Menegak
Blog
01 July 2026
KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2026 – Digital Nasional Berhad (DNB) kini melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kapasiti, meningkatkan prestasi rangkaian serta memastikan infrastruktur 5G negara bagi memenuhi keperluan masa hadapan, selari dengan peranannya sebagai penyedia infrastruktur 5G terkemuka Malaysia.
DNB kini sedang giat mengaktifkan spektrum baharu yang diperuntukkan dalam jalur 3.3–3.4 GHz (“F-Zero”). Dengan penambahan ini, jumlah pegangan spektrum jalur pertengahan berterusan DNB meningkat kepada 200 MHz apabila digabungkan dengan spektrum sedia ada dalam jalur 3.4 hingga 3.5 GHz. Ini merupakan pegangan spektrum jalur pertengahan terbesar di Malaysia dan secara efektif menggandakan kapasiti rangkaian, sekali gus meningkatkan kecekapan rangkaian serta pengalaman pengguna, khususnya di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
Lebih penting, peningkatan kapasiti ini membolehkan DNB bersama para pelanggannya menyokong fasa baharu pendigitalan perusahaan, termasuk pembangunan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet Benda (IoT) industri serta perkhidmatan misi kritikal. Dengan platform 5G yang kukuh dan berprestasi tinggi, perusahaan di Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mempercepat inovasi dan memperluas penggunaan teknologi digital.
Sehingga kini, lebih 50 tapak telah dinaik taraf dan lebih banyak tapak lagi akan diaktifkan secara berperingkat. Penambahbaikan ini akan meningkatkan prestasi rangkaian di kawasan bertrafik tinggi, di samping menyokong aplikasi yang memerlukan kapasiti dan penggunaan data yang lebih tinggi.
Menyokong Permintaan Digital Malaysia yang Semakin Meningkat
Penggunaan data mudah alih di Malaysia terus meningkat dengan pesat, dengan purata penggunaan bulanan naik daripada kira-kira 19GB semasa tempoh COVID-19 kepada sekitar 40GB setiap pengguna sebulan pada masa ini. Rangkaian 5G DNB di seluruh negara telah memainkan peranan penting dalam mempercepat pertumbuhan ini, memacu penggunaan meluas 5G dan membolehkan pengalaman digital yang lebih bernilai.
Kadar penggunaan 5G di Malaysia kini telah melebihi 88%, bersamaan lebih 30.3 juta langganan 5G, sekali gus mencerminkan penerimaan yang memberangsangkan dalam kalangan pengguna dan industri. Pencapaian ini turut didorong oleh peranan DNB dalam menyediakan rangkaian 5G bertaraf dunia pada antara kos borong setiap GB yang terendah di dunia.
Dengan pegangan spektrum yang lebih luas serta usaha penambahbaikan rangkaian yang berterusan, DNB kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan penggunaan 5G pada fasa seterusnya. Tumpuan akan diberikan kepada peluasan penggunaan dalam sektor perusahaan serta pembangunan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) merentas pelbagai industri.
DNB terus melabur dalam teknologi termaju, termasuk evolusi ke arah 5G-Advanced serta pengurusan rangkaian autonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI), bagi memastikan prestasi, kecekapan dan kebolehpercayaan rangkaian sentiasa berada pada tahap terbaik. Usaha berterusan ini turut membolehkan DNB meraih pelbagai pengiktirafan dan anugerah di peringkat antarabangsa. Pada masa yang sama, DNB kekal komited memastikan keselamatan siber, daya tahan dan integriti rangkaian sentiasa memenuhi standard tertinggi.
Melalui kerjasama erat bersama para pemegang saham dan rakan industri, DNB turut mempergiat usaha memperluas liputan 5G di seluruh negara bagi menyokong aspirasi Kerajaan ke arah membina Malaysia yang lebih terhubung dan berdaya saing dalam era digital.
Sokongan Industri Bersepadu
Pada masa ini, DNB mengendalikan sebahagian besar trafik mudah alih 5G Malaysia, dengan CelcomDigi, Maxis dan YTL Communications sebagai pemegang saham yang mempunyai gabungan 30 juta pengguna. Ini mencerminkan sokongan industri yang kukuh serta keyakinan berterusan terhadap model infrastruktur berkongsi ini. Secara kolektif, para pemegang saham DNB telah melabur lebih daripada RM2 bilion setakat ini.
Pendekatan kerjasama ini membolehkan industri mengoptimumkan sumber, meningkatkan kecekapan, serta memanfaatkan kekuatan bersama untuk memberikan nilai yang lebih besar dan pengalaman yang dipertingkatkan kepada pengguna dan industri di seluruh negara.
Pengunduran U Mobile Selaras dengan Dasar Dwi-Rangkaian
Selaras dengan polisi Kerajaan bagi rangkaian berasingan di bawah model Dwi-Rangkaian 5G (DN), DNB hari ini mengesahkan bahawa U Mobile telah keluar daripada rangkaian 5G DNB, berkuat kuasa 30 Jun 2026. Perkembangan ini mencerminkan evolusi landskap 5G Malaysia serta menyokong dasar nasional untuk mewujudkan ekosistem digital yang berdaya tahan, kompetitif dan bersedia masa hadapan.
Operasi rangkaian, komitmen liputan dan penyampaian perkhidmatan berterusan DNB kekal tanpa gangguan dan tidak terjejas oleh peralihan ini. DNB terus fokus untuk menyediakan rangkaian 5G nasional bertaraf dunia, dengan kerjasama erat pemegang saham dan rakan industri.
Melihat Ke Hadapan
Melangkah ke hadapan, DNB akan memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi rangkaian, penskalaan keupayaan perusahaan, serta membolehkan gelombang baharu inovasi digital di Malaysia.
“Kami sedang memasuki fasa baharu bagi DNB — yang ditakrifkan oleh kapasiti yang lebih kukuh, kerjasama yang lebih mendalam, dan pelaksanaan yang lebih tajam,” kata Datuk Azman Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif DNB.
“Dengan permintaan yang semakin meningkat dan peluang digital baharu — khususnya dalam AI dan pendigitalan industri — kami komited untuk menyediakan rangkaian yang bukan sahaja memenuhi keperluan hari ini, tetapi juga memperkasa masa depan digital Malaysia.”
Hubungan media corp.comms@digital-nasional.com.my
Berita terkini dari kami