Kelebihan 5G Perusahaan
Perusahaan Menegak
Blog
05 May 2026
• Pengaktifan IBS di Pavilion Kuala Lumpur memperkukuh pengalaman 5G yang lancar di salah satu destinasi runcit paling popular negara
• DNB mempergiat pelaksanaan In-Building Solutions (IBS) secara meluas bersama para pemegang saham, pemilik bangunan dan rakan strategik lain, selain di 72 lokasi utama sedia ada termasuk lapangan terbang, hab pengangkutan, hospital dan pusat konvensyen
KUALA LUMPUR, 5 Mei 2026 – Pengunjung Pavilion Kuala Lumpur kini boleh menikmati pengalaman 5G yang lebih lancar dan stabil susulan pengaktifan In‑Building Solutions (IBS) oleh Digital Nasional Berhad (DNB). Liputan dalaman yang dipertingkatkan ini memastikan pengguna mudah alih CelcomDigi, Maxis dan Yes (YTL Communications) menikmati sambungan berkelajuan tinggi yang konsisten di seluruh pusat beli-belah, termasuk pada waktu puncak.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen DNB dalam melengkapkan liputan 5G luar bangunan bertaraf dunia yang kini melebihi 80% kawasan berpenduduk dengan sambungan dalaman yang kukuh di lokasi-lokasi tumpuan seperti pusat beli-belah, hab pengangkutan, hospital, pejabat dan lokasi acara, sekali gus meningkatkan pengalaman digital harian bagi pengguna dan perniagaan.
Melalui kerjasama erat dengan pemegang sahamnya, pemilik bangunan dan rakan-rakan lain, DNB menyasarkan pelaksanaan IBS secara pesat di kemudahan komersial utama di seluruh negara. Selain Pavilion Kuala Lumpur, beberapa pusat beli-belah lain turut berada dalam perancangan pelaksanaan sebagai sebahagian daripada inisiatif penting ini.
Pavilion Kuala Lumpur ini merupakan lokasi terbaru yang dilengkapkan 5G dalaman oleh DNB. Sebelum ini,72 lokasi utama telahpun dilengkapi IBS, termasuk KLIA, KLIA2, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Pulau Pinang, KL Sentral, Setia Spice Arena, KOMTAR, hospital utama seperti IJN dan PPUM, serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.
Liputan 5G dalam bangunan meningkatkan pengalaman pengguna dengan ketara melalui kelajuan yang lebih konsisten, latensi lebih rendah dan kebolehpercayaan lebih tinggi. Hal ini membolehkan pembayaran mudah alih yang lancar, pengalaman runcit digital imersif seperti realiti terimbuh (AR), serta sambungan stabil walaupun pada waktu puncak.
Di samping manfaat kepada pengguna, liputan 5G dalam bangunan juga merupakan pemacu penting kepada transformasi perusahaan. Ia membolehkan organisasi melaksanakan penyelesaian IoT, sistem automasi berskala besar serta teknologi generasi baharu, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan melalui robotik, sensor pintar dan penyelesaian berasaskan AI terutamanya dalam sektor seperti runcit, logistik, penjagaan kesihatan, pembuatan dan bangunan pintar.
Sebagai penyedia rangkaian 5G borong utama Malaysia, DNB kini mengendalikan lebih 80% daripada keseluruhan trafik 5G negara. Prestasi rangkaiannya turut mendapat pengiktirafan global daripada platform seperti Ookla, OpenSignal, Glotel, FutureNet dan TM Forum.
Datuk Azman Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif DNB berkata, “Pengaktifan 5G dalam bangunan di Pavilion Kuala Lumpur menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memastikan rakyat Malaysia menikmati pengalaman 5G yang benar-benar lancar—di luar dan di dalam bangunan. Apabila ketersambungan menjadi semakin penting dalam kehidupan, pekerjaan dan perniagaan, adalah kritikal untuk memastikan 5G berkualiti tinggi tersedia di lokasi yang paling penting.
“Kerjasama erat dengan rakan MNO, penyedia infrastruktur dan pemilik bangunan telah menjadi kunci kepada kemajuan ini. Kami juga menghargai sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam peruntukan spektrum, yang membolehkan kami terus mengoptimumkan prestasi rangkaian dan menyampaikan perkhidmatan 5G bertaraf dunia yang menyokong inovasi, produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.”
Hubungan media corp.comms@digital-nasional.com.my
Berita terkini dari kami