Berita dan Pandangan 5G

Maklumbalas kepada surat Ong Kian Ming mengenai pengendali rangkaian mudah alih di Malaysia dan Pelancaran 5G.

16 February 2022

Economic Impact Report Forecasts DNB’s Single Wholesale 5G Network to Create RM122 billion in GDP and 148,000 jobs in 2030

Artikel ini diterbitkan buat kali pertama di The Edge Markets, 16 February 2022.

 

Kehadapan para penggubal dasar dihormati serta warga prihatin di Malaysia sekelian. 

Kami merujuk kepada perutusan dan surat terbuka di antara Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Ralph Marshall, dan Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Penolong Pengarah Pendidikan Politik (Parti Tindakan Demokratik) baru-baru ini. 

Di dalam surat beliau yang terkini, Dr Ong mengemukakan 10 soalan kepada pengendali-pengendali rangkaian mudah alih (Mobile Network Operators, MNO) di Malaysia. Memandangkan surat tersebut berstatus terbuka, izinkan kami menawarkan beberapa pandangan mengenai perkara tersebut berdasarkan pengalaman kerja kami bersama pengendali rangkaian, pengawal selia dan pembekal utama industri. 

Kami tidak akan mengulas ke atas soalan-soalan yang dikemukakan khusus kepada para Ketua Pegawai Eksekutif MNO yang sedia ada, sekurang-kurangnya sehingga Dr Ong menerima jawapan yang beliau cari. Walau bagaimanapun, kami mungkin dapat memberikan ulasan kepada soalan-soalan 4, 6, 7, 8 dan 10 seperti berikut: 

4) Sebagai mantan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta penggubal dasar awam yang berminat untuk merapatkan jurang bandar dan desa, saya dapat melihat daya tarikan model Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network, SWN) ini. Tambahan pula ia diterajui oleh badan kerajaan yang akan mendorong penggunaan 5G yang lebih pantas ke kawasan separa bandar dan luar bandar, walaupun pada awalnya kekurangan permintaan. Penyebaran pantas 5G, yang ditambah baik dengan rancangan sedia ada MNO untuk melancarkan 4G sebagai pelengkap, akan memangkinkan sektor pekerjaan dan pelaburan ke kawasan kos rendah separa bandar dan luar bandar di seluruh negara. Dengan secara tidak langsungnya, ia dapat meningkatkan permintaan liputan dan perkhidmatan 5G juga. Adakah pemain industri bersetuju dengan pandangan ini? 

Jika pihak MNO yang sedia ada ingin bekerjasama, liputan luar bandar berdasarkan rangkaian perkongsian akan sudah lama dibangunkan. Perkara ini telah banyak berlaku di seluruh dunia. Dorongan untuk membangunkan liputan luar bandar secara perkongsian di negara-negara seperti United Kingdom, adalah gabungan usaha di antara pihak kerajaan dan MNO, dan membuahkan hasil rangkaian yang kos efektif. 

Jelas sekali, MNO di Malaysia tidak bekerjasama di dalam hal ini. Oleh itu, initiatif ini perlukan campur tangan pihak kerajaan untuk berjaya. 

 6) Salah satu hujah utama yang dikemukakan oleh DNB adalah MNO harus menumpukan pada persaingan berdasarkan tawaran perkhidmatan, dan bukannya kelajuan atau ketersambungan rangkaian mereka di bawah 5G. Ini adalah kerana data dan akses kepada data, semakin hari semakin dikomoditikan. Dari pemahaman saya, terdapat hanya sedikit inovasi, terutamanya dari segi perkhidmatan nilai tambah bagi Perusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dan sektor pembuatan. Jika MNO tidak lagi perlu menumpukan fokus ke arah pelancaran 5G dan ‘dipaksa’ bersaing berdasarkan tawaran perkhidmatan, bukankah ini dapat membuka tirai baru kepada landskap telekomunikasi mudah alih yang lebih inovatif, baik untuk peniaga mahupun pengguna individu? 

Ya, perkara ini memang ditakuti MNO. Kami telah aktif dalam industri telekomunikasi selama 40 tahun dan boleh menyokong hujah yang bahawasanya MNO tidak banyak memupuk inovasi dalam perkhidmatan. Ini amat ketara di Eropah dengan lelongan spektrum 3G sekitar tahun 2000 di mana penilaian tidak masuk akal telah diletakkan pada spektrum oleh MNO. Penilaian ini adalah berdasarkan ramalan pendapatan baharu yang luar biasa daripada perkhidmatan data yang kemudiannya gagal menjadi kenyataan. Lebih tepat lagi, hasil ini gagal direalisasikan untuk MNO, kerana perniagaan permulaan (Start Up businesses) dari Silicon Valley telah menunjukkan bahawa hasil daripada perkhidmatan data pasaran massa (mass-market data services) boleh menghasilkan nilai yang sangat besar — sebuah ​​situasi yang telah menimbulkan aduan daripada pihak MNO. 

MNO sebenarnya adalah pengendali perkhidmatan utiliti semata-mata. Mereka membiayai pembangunan infrastruktur telekomunikasi. Sebaliknya, inovasi rangkaian yang telah kita semua saksi sejak beberapa dekad yang lalu, datang daripada pengeluar peralatan utama dan kumpulan pemain kecil industri yang menyediakan peralatan, perisian dan perkhidmatan pakar. MNO menentang keras kemunculan SWN kerana ia akan membawa ke kos trafik yang lebih kompetitif, menyebabkan pelaburan mereka gagal mengaut keuntungan daripada penjualan perkhidmatan data yang tidak dapat dibezakan. Prospek di mana mereka harus menjadi penyedia perkhidmatan yang inovatif sememangnya menakutkan, dan merupakan satu ancaman perniagaan. Bagaimanapun, Malaysia wajar memaksa perubahan ini untuk kepentingan sejagat. Negara kita memerlukan faedah daripada tawaran perkhidmatan yang pelbagai dan inovatif, yang boleh disediakan berasaskan teknologi rangkaian 5G baharu. MNO tiada pilihan lain, selain dari memperbaharui model perniagaan mereka yang usang, supaya dapat meraih keuntungan bersama. 

7) Tahun lepas, DNB mendakwa bahawa ia akan mendayakan 500 tapak dengan rangkaian 5G menjelang akhir 2021 sebagai bukti kepada MNO bahawa janji ‘pelancaran 5G yang cepat’ dapat ditunaikan. Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif DNB merujuk kepada laporan dan pengemaskinian biasa kemajuan pelan pelancaran 5G di tapak webnya. Adakah industri berpuas hati dengan kemajuan yang telah dicapai oleh DNB berkaitan dengan pelancaran infrastruktur 5G? Adakah terdapat kemusykilan mengenai penggunaan semasa rangkaian 5G di bawah kelolaan DNB setakat ini, yang perlu diusulkan kepada penggubal dasar? 

Penggubal dasar harus diingatkan bahawa pelancaran rangkaian 5G oleh DNB sedang dijalankan secekap mungkin dengan menempatkan teknologi 5G di stesen pangkalan MNO yang sedia ada. Ia memerlukan kerjasama MNO serta mana-mana pihak ketiga yang berkhidmat dengan MNO tersebut. Oleh itu, penggubal dasar harus memahami bahawa sebarang kelewatan dan kesukaran yang dihadapi oleh DNB tidak semestinya disebabkan oleh mereka sendiri. Penentangan terhadap SWN sudah terbukti dengan adanya cadangan alternatif seperti Rangkaian Borong Dwi (Dual Wholesale Network, DWN). Semestinya, semangat dalam sokongan praktikal daripada MNO adalah amat kecil. 

8) Adakah industri melihat sebarang peningkatan apabila DNB melancarkan rangkaian 5G dan memberi pilihan kepada MNO untuk membeli kepentingan dalam DNB selepas sebahagian besar rangkaian 5G dilancarkan, katakan menjelang 2024? Adakah ini akan mengurangkan kebimbangan di pihak MNO bahawa DNB akan ‘menyalahgunakan’ kedudukannya sebagai monopoli dan mengenakan caj yang tidak munasabah kepada pemain industri bagi akses ke rangkaian 5G? 

Selagi DNB menyediakan akses yang adil dan sama rata kepada semua pengendali yang ingin menggunakan SWN, jaminan bahawa DNB tidak akan menyalahgunakan kedudukan monopolinya harus disediakan oleh badan kawal selia bebas. Badan ini perlu mempunyai kuasa dan mandat untuk memastikan DNB melaksanakan tanggung jawabnya untuk menyediakan ‘akses yang adil dan sama rata’ dan harus menyiasat sebarang tuntutan penyalahgunaan secara telus dan adil. 

Seperti yang kita fahami, DNB mencadangkan untuk menetapkan harga perkhidmatan rangkaian borongnya berdasarkan pemulihan kos. Ini menunjukkan bahawa tiada insentif langsung bagi mana-mana MNO untuk menggunakan modal untuk pembelian pegangan dalam DNB. Sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian, kami akan mengesyaki ada niat untuk meminta DNB menyimpang daripada mandat ‘akses yang adil dan sama rata’ dan memihak kepada penggunaan kemudahan rangkaian 4G mereka, yang mana mereka kemudiannya akan mendapat keuntungan. Niatnya mungkin untuk mengawal DNB dahulu dan kemudiannya mencari cara untuk membalikkan mandat ‘akses yang adil dan sama rata’ supaya keuntungan boleh didapati daripada penjualan perkhidmatan data 5G ringkas sebagai lanjutan daripada perkhidmatan 4G sedia ada mereka. 

10) Adakah MNO lebih suka model DWN berbanding model SWN ini, dengan entiti baharu yang membangunkan serta melancarkan rangkaian 5G yang lain? Jika ya, apakah struktur pemilikan dan tanggungjawab yang dicadangkan bagi model DWN ini? Sebagai contoh, adakah badan yang diterajui konsortium dibenarkan untuk melengkapkan atau bersaing dengan DNB untuk pelancaran 5G, atau adakah struktur pemilikan DNB akan diubah supaya terdapat dua badan bukan-kerajaan yang diberi tanggungjawab untuk melancarkan 5G di Malaysia? 

Pemahaman kami ialah MNO yang sedia ada, telah aktif dalam memupuk model DWN sebagai alternatif kepada SWN semasa melalui DNB. Kami berharap mereka menyokong cadangan DWN, tetapi dalam bentuk yang membolehkan mereka memihak kepada satu pengendali berbanding yang lain untuk kelebihan mereka. 

Penggubal dasar harus diingatkan bahawa DNB telah ditubuhkan sebagai pengendali SWN monopoli yang menetapkan harga perkhidmatannya berdasarkan pemulihan kos. Dalam model DWN, apakah sifat persaingan antara dua pembekal borong itu? Dengan mengandaikan bahawa teknologi tersedia untuk kedua-dua pihak - dan nampaknya tidak ada sebab untuk mempersoalkan perkara ini - maka persaingan hanya boleh berpunca daripada perbezaan liputan atau perbezaan harga borong. Kami mengecualikan kemungkinan perbezaan kapasiti yang ketara antara operator (didorong oleh ketersediaan spektrum) kerana kami menganggap kerajaan tidak mahu memihak kepada satu operator borong berbanding yang lain. 

Kami telah menyebut bahawa pelan liputan DNB bergantung kepada kerjasama MNO untuk berkongsi infrastruktur mereka. Sebaik-baiknya, pengendali borong yang bersaing tidak dimiliki oleh MNO dengan secara keseluruhan atau sebahagiannya, kerana ini akan mewujudkan konflik kepentingan. Ia juga boleh mengakibatkan layanan keutamaan untuk salah satu pengendali borong. Jika pengendali borong merupakan badan kerajaan, maka liputan yang ditempatkan di infrastruktur MNO dikongsi secara saksama dan tidak akan menawarkan kelebihan daya saing untuk satu pengendali berbanding yang lain. 

Dalam pasaran kompetitif yang mampan, harga borong mungkin dikaitkan dengan kos asas pengendali yang paling lemah. Pengendali yang paling lemah adalah mereka yang mempunyai bahagian pasaran yang paling sedikit, kerana jumlah trafik adalah pemacu kos yang paling ketara. Biarpun pandangan ini agak ringkas, ia menunjukkan bahawa pengendali dengan jumlah trafik dua kali ganda daripada yang lain, sebagai contoh, akan mempunyai kos unit yang hampir separuh daripada yang lain. Untuk mempunyai masa depan yang mampan, pengendali yang lemah harus menampung kos. Ini bermakna penetapan harga pengendali yang paling kukuh, dengan cara yang sama, akan mengaut keuntungan yang berlebihan berdasarkan kedudukan pasarannya. Kesimpulan kami berdasarkan pandangan ini, adalah pasaran akan mengalami harga perkhidmatan yang terlalu mahal dan akibatnya, Malaysia akan menjadi lebih miskin. 

Pandangan-pandangan di atas hanya akan berlaku jika pengusaha borong tidak dapat membezakan tawaran perkhidmatan borong mereka. Dengan 5G Standalone, kami sedar bahawa ‘menghiris rangkaian’ (network slicing) adalah sesuatu yang mudah dilakukan, di mana perkhidmatan boleh ditawarkan dengan spesifikasi yang berbeza.  

Dengan cara ini, sesebuah pengendali dapat membangunkan portfolio-portfolio yang mampan, dan memajukan sesebuah pasaran khusus (niche market), justeru menjadi pemain dominan di pasaran tersebut. Jika kita beranggapan bahawa setiap pengendali beroperasi seperti demikian, maka akan terciptalah monopoli peruntukan, dan hasrat untuk memupuk bekalan perkhidmatan 5G secara borong dan kompetitif, telah berjaya dimusnahkan. 

 

Oleh itu, kerajaan Malaysia dinasihatkan untuk terus teguh dengan hasrat untuk memupuk  Rangkaian Borong Tunggal 5G, dan menangkas sebarang kebimbangan mengenai monopoli peruntukan (monopoly provision) melalui sebuah badan kawal-selia yang berkesan. 

Bilik Berita DNB

Berita terkini dari kami

5G: Penetapan harga peroleh tiga spektrum guna kaedah tawaran akses rujukan

DNB menjalinkan kerjasama dengan Shopee dan Syarikat Telekomunikasi untuk mempercepatkan penggunaan 5G dalam kalangan PMKS di Malaysia

5G: Penetapan harga peroleh tiga spektrum guna kaedah tawaran akses rujukan

DIGITAL NASIONAL BERHAD (DNB) UMUM PELANTIKAN AHLI LEMBAGA PENGARAH BAHARU

5G: Penetapan harga peroleh tiga spektrum guna kaedah tawaran akses rujukan

KENYATAAN DIGITAL NASIONAL BERHAD (DNB) MERUJUK ARTIKEL CHANNEL NEWS ASIA (CNA) BERTAJUK “Malaysia’s billion-dollar 5G roll-out stumbles as deal breaks down between powerful telcos, state-owned operator”