Pelancaran Malaysia dan peranan Digital Nasional Berhad

Kos pelaksanaan rangkaian 5G secara keseluruhannya dijangka akan menelan belanja sebanyak RM16.5 bilion dalam jangka masa 10 tahun yang akan datang. Ini merangkumi RM12.5 bilion untuk perkakasan rangkaian dan infrastruktur 5G serta RM4 bilion dalam kos korporat.

Dari RM12.5 bilion itu, RM4 billion adalah pembayaran kepada Ericsson selaku Penyedia Perkakasan Rangkaian (Network Equipment Provider atau NEP), serta RM8.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur sepanjang 10 tahun akan datang. Manakala, dari bayaran sejumlah RM4billion kepada Ericson, dianggarkan RM2.3 bilion akan dibelanjakan di dalam negara. Dari jumlah RM8.5 bilion itu pula, sejumlah RM4 bilion dianggarkan akan disalurkan kepada pemilik tapak dan syarikat infrastrutkttur menara, RM2.5 bilion lagi diperuntukkan untuk penambahan fiber, RM1 bilion untuk penggunaan tenaga dan lagi RM1 billion dalam bentuk yuran kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tugasan radas (apparatus assignment)

Sebahagian besar daripada dana ini akan kekal berada di dalam negara dan diedarkan ke seluruh ekonomi tempatan. Malah, kebanyakan daripada dana ini akan mengalir ke ekosistem telekomunikasi tempatan.

Jumlah kos RM12.5 bilion ini jika dibandingkan, adalah lebih baik daripada anggaran kos yang diterbitkan di dalam Rangka Tindakan MyDIGITAL dan Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan pada bulan Disember 2019. Laporan Pasukan Petugas mendapati kos tambahan untuk menaiktaraf hanya satu rangkaian 4G kepad 5G di Malaysia akan menelan kos kira-kira RM7.5 bilion. Berdasarkan dari anggaran Pasukan Petugas itu, pelancaran Rangkaian 5G secara kolektif dari 4 syarikat telekomunikasi utama sedia ada berkemungkinan akan menelan belanja melebihi RM30 bilion.

Selain perbelanjaan modal (CAPEX) untuk membina Rangkaian Liputan 5G sejumlah RM12.5 bilion, perbelanjaan korporat dan operasi (OPEX) untuk menjalankan Rangkaian 5G sepanjang 10 tahun dianggarkan pada RM4 bilion, Ini merangkumi, antara lain, kos kakitangan, yuran profesional, perbelanjaan pusat data, perlindungan insurans juga perbelanjaan pemasaran dan promosi. Ini membawa kos pelancaran rangkaian dan infrastrutktur 5G kepada RM16.5 bilion sepanjang 10 tahun akan datang.

5