2 Ma Sivanesan Marimuthu Ahli Lembaga Ahli Lembaga Pengarah

Encik Ma Sivanesan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) di Kementerian Digital. Beliau berpengalaman luas dalam bidang kewangan awam, terutamanya dalam dasar cukai, termasuk cukai langsung dan tidak langsung.

Encik Ma Sivanesan memulakan kerjaya beliau sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1996 dan sejak itu telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di Kementerian Kewangan Malaysia. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau turut memainkan peranan penting dalam penyediaan pelbagai belanjawan tahunan negara sekali gus menyumbang kepada pembangunan pelbagai dasar cukai dan insentif pelaburan. Beliau juga memimpin pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan, yang menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Sebelum itu, Encik Ma memainkan peranan utama dalam pelaksanaan GST, dengan bertumpu kepada dasar, publisiti dan sistem.

Pengalaman beliau juga meliputi pengurusan dasar pos dan telekomunikasi, keselamatan siber dan ekonomi digital, selain memberi sumbangan ketara terhadap pelaksanaan 5G, pelan fiberisasi dan kesalinghubungan nasional serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Buat masa ini, beliau mengetuai dan menyumbang tenaga sebagai pemimpin strategik dalam penubuhan GovTech Malaysia dan Pejabat AI Nasional (AI Malaysia).

Encik Ma Sivanesan memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana dalam Ekonomi dari Universiti Tohoku, Sendai, Jepun. Beliau juga memiliki Diploma Lepasan Ijazah dalam Pentadbiran Awam dari Institut Tadbiran Awam Negara.