Kelebihan 5G Perusahaan
Perusahaan Menegak
Blog
11 October 2022
KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2022 – Empat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (Mobile Network Operators atau MNO) – Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, YTL Communications Sdn Bhd (YES), dan Telekom Malaysia Bhd (TM) – pada hari ini telah memeterai perjanjian langganan saham (Share Subsciption Agreement atau SSA) untuk memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).
Perjanjian ini membolehkan MNO untuk memiliki 65% kepentingan ekuiti dalam DNB dengan pecahan pegangan seperti berikut: Celcom Axiata (12.5%), Digi Telecommunications (12.5%), YTL Communications (20%), TM (20%). Kerajaan akan mengekalkan pegangan 35% baki ekuiti dalam DNB dan juga Saham Khas (Golden Share). Saham Khas ini memberikan pelbagai hak dan kepentingan dan meliputi hal-hal seperti pemilikan, jualan atau pemindahan saham Kerajaan.
Pegangan saham masing-masing sebanyak 12.5% untuk Celcom Axiata dan Digi Telecommunications adalah untuk mengambil kira penggabungan dua syarikat ini tidak lama lagi. Di bawah syarat-syarat SSA dan struktur tadbir urus yang dipersetujui oleh semua pihak, mana-mana MNO tunggal tidak boleh mempunyai pegangan melebihi 20% dalam DNB dan sekiranya berlaku penggabungan antara MNO tersebut, entiti gabungan tidak boleh mempunyai pegangan melebihi 25% dalam DNB.
Ini merupakan suatu perkembangan positif hasil perbincangan menyeluruh antara MNO dan DNB. MNO dijangka akan menawarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan akhir mereka bermula Oktober 2022.
“Saya berbesar hati MNO telah mengambil pegangan ekuiti dalam DNB seperti yang ditawarkan oleh Kerajaan, dan telah memeterai perjanjian SSA bersama DNB. Seterusnya, kesemua pihak masing-masing akan bekerjasama untuk memenuhi syarat-syarat dahuluan (conditions precedent) di dalam SSA, termasuklah pelaksanaan Perjanjian Akses secepat mungkin. Saya percaya kesemua pihak akan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan ketersediaan 5G kepada pelanggan mereka termasuk pelanggan antarabangsa yang menggunakan perkhidmatan perayauan (“roaming”) di seluruh negara. Malah MNO memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan 5G akan dapat dipercepatkan di kalangan pengguna akhir. Dalam jangka masa panjang, MNO akan bertanggungjawab untuk membawa produk dan perkhidmatan yang didayakan 5G ke pasaran, yang akan memberi impak positif kepada pelbagai industri, sama ada kecil, sederhana atau besar termasuk pihak Kerajaan,” kata Pengerusi DNB, Yang Berbahagia Datuk Seri Asri Hamidon.
Sementara itu, DNB akan meneruskan pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G pada jadual yang dipercepatkan, dengan sasaran untuk mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk menjelang 2024.
“Setakat hari ini, rangkaian 5G telah mencapai 33% liputan di kawasan berpenduduk berbanding sasaran kira-kira 40% liputan di kawasan berpenduduk negara menjelang akhir 2022. Fasa ujian dan integrasi tapak 5G oleh pihak MNO telah berjalan dengan baik dan saya yakin MNO sudah bersedia untuk menawarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka di kawasan yang sudah tersedia infrastruktur 5G. Tambahan lagi, ekosistem 5G tempatan telah berkembang dengan pesat, dan di Malaysia pada ketika ini sudah terdapat 12 jenama peranti yang menawarkan lebih daripada 100 model yang serasi dengan teknologi 5G. Oleh itu, kita berharap penyediaan infrastruktur 5G ini akan dapat menggalakkan lebih banyak penggunaan 5G di kalangan Rakyat, industri dan juga Kerajaan,” tambah Datuk Seri Asri.
Hubungan media corp.comms@digital-nasional.com.my
Berita terkini dari kami