Bilik Berita DNB

DNB dan Ericsson Berkolaborasi dengan KPT bagi Melengkapkan Pelajar dengan Kemahiran Digital melalui ‘MY5G Ericsson Malaysia Pioneers Programme’

03 November 2023

Economic Impact Report Forecasts DNB’s Single Wholesale 5G Network to Create RM122 billion in GDP and 148,000 jobs in 2030

KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2023 – Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson telah menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mempromosikan ‘MY5G Ericsson Malaysia Pioneers Programme’ di institusi pengajian tinggi seluruh negara, dalam inisiatif bersama untuk menyokong aspirasi digital negara.

Salah satu objektif utama program ini adalah untuk melengkapkan pelajar dari pelbagai latar belakang akademik dengan kemahiran, pengetahuan dan kesedaran tentang teknologi terkini. Kurikulum yang komprehensif membolehkan pelajar mendapat pemahaman holistik tentang landskap digital dan bersedia untuk mengambil peluang yang ditawarkan oleh era 5G. Dengan menawarkan program ini secara percuma, DNB dan Ericsson ingin merapatkan lagi jurang digital dan memastikan akses pendidikan digital yang saksama untuk semua pelajar.

Program dalam talian ini dibahagikan kepada tiga modul dan bertujuan untuk memberikan pelajar pemahaman yang menyeluruh tentang teknologi baharu seperti Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR). Apabila berjaya menamatkan kursus, pelajar akan dianugerahkan lencana digital dari Ericsson, sebuah syarikat global yang terulung dalam arena 5G. Lencana ini boleh disematkan secara digital pada profil pelajar di portal kerja dalam talian terkemuka sekali gus membuktikan komitmen mereka terhadap pembelajaran berterusan dan kepakaran digital.

Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui program ini diharapkan bakal meningkatkan peluang pekerjaan mereka dalam pasaran kerja yang kompetitif. Selain itu, program ini juga melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya masa depan mereka, menunjukkan ketersediaan mereka dalam menghadapi revolusi digital.

Sejak dilancarkan pada 11 Januari 2023, program ini telah mendapat sambutan daripada pelbagai universiti, dengan penyertaan pelajar yang menggalakkan. Dengan jumlah pendaftaran lebih daripada 10,000 pelajar dan penyertaan aktif daripada 126 universiti, termasuk 20 universiti awam, sambutan ini benar-benar mencerminkan semangat yang berkembang dalam kalangan pelajar dan institusi pengajian tinggi dalam mengadaptasi teknologi baharu. Institusi pengajian lain seperti politeknik dan kolej komuniti pula akan turut disertakan dalam fasa program ini yang seterusnya.

Semasa ucapan beliau di Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik kerjasama antara Kerajaan dan industri iaitu antara KPT, Digital Nasional Berhad dan Ericsson, dengan berkata, “Dengan mengukuhkan hubungan dengan industri dan melaksanakan langkah-langkah khusus dan strategik, ia akan memastikan bahawa graduan yang bakal datang memiliki kemahiran yang berkaitan dengan industri, melalui pendekatan yang lebih fokus dan sasaran, dan menangani keperluan industri secara langsung.”

Sementara itu, Datuk Ahmad Zaki Bin Zahid, Ketua Pegawai Strategi Digital Nasional Berhad berkata bahawa pembangunan modal insan dalam kompetensi digital dan peningkatan kemahiran adalah penting untuk memastikan bahawa Malaysia mempunyai bakat yang tepat untuk mengendalikan dan mendapat manfaat daripada pelaburan yang dibuat dalam infrastruktur 5G canggih. “Digital Nasional Berhad bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini untuk menyediakan pelajar di institusi pengajian tinggi dengan pengetahuan dan wawasan dalam industri digital. Kami akan terus memberikan sokongan kuat terhadap aspirasi Kementerian untuk menggerakkan sumber dan kepakaran, supaya ekosistem yang menyokong graduan berkualiti dapat dibentuk secara strategik.”

David Hägerbro, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, berkata, “Ericsson berasa bangga untuk berkolaborasi dengan DNB dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membantu membangunkan bakat Malaysia, demi merealisasikan Digital Malaysia. Kami berasa teruja untuk bekerjasama bagi memastikan lebih ramai pelajar dapat mendapat manfaat daripada program ini, supaya mereka dapat bersedia untuk mengambil peluang yang ada di hadapan mereka yang akan dipacu oleh rangkaian 5G Malaysia bertaraf dunia dan masa depan yang didorong secara digital.”

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MY5G Ericsson Malaysia Pioneers Programme, sila lawati https://www.ericsson.com/en/about-us/company-facts/ericsson-worldwide/malaysia/my5g-ericsson-educate

Mengenai Digital Nasional Berhad (DNB)

Digital Nasional Berhad (DNB) adalah anak syarikat Menteri Kewangan Inc, yang telah diberi mandat untuk untuk membangun dan melancar rangkaian dan infrastruktur 5G Malaysia pada jadual yang dipercepatkan.  DNB akan memiliki, membina dan mengurus rangkaian 5G secara eksklusif, serta menyediakan perkhidmatan 5G secara borong kepada penyedia perkhidmatan berlesen.  Ia juga menyediakan perkhidmatan infrastruktur dan teknologi untuk menyokong dan meningkatkan perniagaan dan keupayaan kerajaan. DNB dilesenkan sebagai pengendali telekomunikasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sila layari www.digital-nasional.com.my untuk maklumat lanjut.

Hubungan Media Digital Nasional Berhad:

Nurul Dayanna Norji
Pengurus, Komunikasi Korporat
dayanna.norji@digital-nasional.com.my

Irwan Abdul Rahman
Ketua, Komunikasi Korporat
irwan.rahman@digital-nasional.com.my

 

Bilik Berita DNB

Berita terkini dari kami

5G: Penetapan harga peroleh tiga spektrum guna kaedah tawaran akses rujukan

DNB menjalinkan kerjasama dengan Shopee dan Syarikat Telekomunikasi untuk mempercepatkan penggunaan 5G dalam kalangan PMKS di Malaysia

5G: Penetapan harga peroleh tiga spektrum guna kaedah tawaran akses rujukan

DIGITAL NASIONAL BERHAD (DNB) UMUM PELANTIKAN AHLI LEMBAGA PENGARAH BAHARU

5G: Penetapan harga peroleh tiga spektrum guna kaedah tawaran akses rujukan

KENYATAAN DIGITAL NASIONAL BERHAD (DNB) MERUJUK ARTIKEL CHANNEL NEWS ASIA (CNA) BERTAJUK “Malaysia’s billion-dollar 5G roll-out stumbles as deal breaks down between powerful telcos, state-owned operator”