Kelebihan 5G Perusahaan
Perusahaan Menegak
Blog
02 August 2022
Artikel ini diterbitkan buat kali pertama di Utusan, 23 Julai 2022.
KOTA BHARU: Parlimen Ketereh dipilih sebagai lokasi pertama kawasan luar bandar di negara ini yang akan menikmati perkhidmatan internet 5G berkelajuan tinggi.
Ketua Pengawal Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd. Yasin berkata, projek tersebut akan memberi peluang kepada masyarakat luar bandar di kawasan berkenaan menikmati kebaikan perkhidmatan internet 5G.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan kerjasama kerajaan bersama SKMM, Telekom Malaysia Bhd. (TM), Digital Nasional Berhad (DNB) dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL).
“Perkhidmatan 5G menawarkan kelajuan internet sehingga melebihi 1,000 megabit per saat (Mbps) kepada pengguna berbanding 35 Mbps bagi 4G.
“Teknologi 5G ini memiliki kemampuan kelajuan internet pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding 4G serta berupaya menghubungkan lebih 1 juta peranti bagi setiap 1 kilometer persegi,” katanya pada Program Bekwoh & Perasmian Hab Digital Ketereh dan 5G sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat di sini hari ini.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Zulkarnain memberitahu, Hab Digital Ketereh ini bakal dilengkapi dengan perkhidmatan 5G, kemudahan studio fotografi, studio siaran langsung dan penyuntingan video.
Katanya, selain itu akan memberi kemudahan kepada usahawan untuk menjalani latihan serta memperluaskan pasaran ke seluruh negara melalui platform digital.
“Dengan adanya perkhidmatan internet 5G ini, ia dapat membantu usahawan mengadakan siaran secara langsung dengan sokongan kelajuan serta kapasiti yang mencukupi. Oleh itu, hasil daripada projek rintis ini akan dilihat dan ditambah baik untuk dilaksanakan di kawasan luar bandar yang lain,” jelasnya. – UTUSAN
Hubungan media corp.comms@digital-nasional.com.my
Berita terkini dari kami