Kelebihan 5G Perusahaan
Perusahaan Menegak
Blog
06 September 2022
Artikel ini diterbitkan buat kali pertama di Dagang News, 31 Ogos 2022.
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Digital Nasional Bhd (DNB) berkata perbincangan mengenai perjanjian capaian 5G sedang berjalan dengan kesemua enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO) terlibat, dan di bawah landasan yang berasingan dan bebas.
Enam MNO itu ialah Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, YTL Communications Sdn Bhd, dan Telekom Malaysia Bhd.
Dalam satu kenyataan hari ini, susulan laporan bahawa Maxis dan U Mobile tidak merancang untuk mengambil kepentingan dalam DNB milik kerajaan, agensi 5G itu berkata pelaksanaan perjanjian langganan saham (SSA) dengan MNO akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Ia berkata bahawa walaupun SSA telah dimuktamadkan dan bersedia untuk dilaksanakan oleh enam MNO pada hari Selasa, terdapat perubahan pada saat-saat akhir dalam keputusan oleh dua MNO (satu telah memutuskan untuk tidak meneruskan, manakala satu lagi tidak memberi maklum balas), walaupun pada awalnya mereka telah mengesahkan untuk mengambil bahagian.
Sehubungan itu, DNB berkata semakan dokumen urus niaga (SSA dan perjanjian pemegang saham) perlu dibuat untuk membolehkan langganan ekuiti oleh empat MNO (bukan enam), yang seterusnya memerlukan kelulusan dalaman selanjutnya daripada empat MNO.
“Empat MNO kekal berminat, dan dijangka proses penyertaan ekuiti akan diteruskan sehingga selesai dengan MNO berkenaan.
“Perbincangan mengenai perjanjian akses 5G sedang berjalan dengan kesemua enam MNO, dan di bawah landasan yang berasingan dan bebas,” katanya.
DNB berkata ia komited untuk memastikan rangkaian dan infrastruktur 5G akan terus digunakan secara dipercepatkan.
Ia berkata pada masa ini, liputan 5G telah mencapai kira-kira 30% daripada kawasan berpenduduk, dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 80% liputan kawasan berpenduduk menjelang 2024.
Hubungan media corp.comms@digital-nasional.com.my
Berita terkini dari kami