Berita dan Pandangan 5G

Tarikh akhir proses rundingan 5G dengan DNB kekal 30 Jun, kata menteri

24 June 2022

Economic Impact Report Forecasts DNB’s Single Wholesale 5G Network to Create RM122 billion in GDP and 148,000 jobs in 2030

Artikel ini diterbitkan buat kali pertama di Free Malaysia Today, 17 Jun 2022.

PETALING JAYA: Kerajaan bersedia mempertimbangkan insentif fiskal untuk membantu syarikat telekomunikasi beralih kepada 5G untuk mengurangkan sebarang kesan komersial jangka pendek dalam menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata ketersediaan dan penggunaan 5G menyumbang kepada hasrat digital negara dan memastikan ketersambungan sebagai hak asasi rakyat Malaysia.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, 5G akan meningkatkan ekonomi sebanyak RM650 bilion dan mewujudkan 750,000 pekerjaan bernilai tinggi mulai sekarang dan tahun 2030. Oleh itu, kejayaan pelaksanaan 5G kami adalah soal kepentingan awam,” katanya dalam temu bual dengan The Straits Times Singapura.

Tengku Zafrul berkata, tarikh akhir bagi syarikat telekomunikasi Malaysia memutuskan sama ada untuk mengambil alih kepentingan dalam Digital Nasional Bhd (DNB) kekal pada penghujung bulan ini kerana semua pihak berkepentingan mesti berkongsi merasa betapa pentingnya untuk Malaysia meningkatkan kesalinghubungannya untuk perniagaan, pembuatan dan rakyat bagi kekal berdaya saing di rantau ini.

“DNB dan syarikat telekomunikasi telah diminta memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 Jun. Sebilangan besar proses harus diselesaikan pada tarikh tersebut. Jika lanjutan masa diperlukan, proses itu boleh dilanjutkan sehingga awal Julai tetapi tidak lewat daripada tarikh berkenaan.

“Ia kini bergerak dalam landasan yang betul, ke arah matlamat utama kami untuk menyediakan perkhidmatan 5G kepada ramai pengguna dan perniagaan yang mungkin dalam masa yang paling singkat, membolehkan Malaysia mengejar apa yang dilakukan jiran serantaunya,” katanya.

Dalam tempoh jangka sederhana hingga panjang, beliau berkata syarikat telekomunikasi akan meraih faedah 5G tanpa memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan.

“Isu yang lebih besar ialah akses rakyat Malaysia dan perniagaan kepada teknologi 5G. Jika syarikat telekomunikasi terutama yang lebih besar terus menangguhkan penyediaan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka seperti disebut oleh menteri komunikasi dan multimedia, baru-baru ini, Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pilihan lain seperti mengeluarkan lesen baharu kepada pemain baharu untuk membolehkan penyediaan pantas perkhidmatan 5G di negara ini.

“Sememangnya kepentingan Malaysia dan rakyatnya mesti diutamakan daripada kepentingan komersial syarikat telekomunikasi,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, peringkat pertama proses pengambilan ekuiti melibatkan pengumpulan maklum balas daripada syarikat telekomunikasi mengenai dokumen perundingan sulit dikeluarkan oleh DNB telah berjaya diselesaikan, pada awal Jun, di mana semua pihak dijemput memberikan maklum balas membina mengenai dokumen itu.

“Kami kini berada di peringkat kedua iaitu pengagihan ‘Term Sheet’ (terma pelaburan) untuk penyertaan ekuiti Telco. Terma pelaburan ini meringkaskan terma utama yang mana DNB akan ditadbir sebagai entiti dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan syarikat telekomunikasi sebagai pemegang saham. DNB dan syarikat telekomunikasi yang berminat kemudiannya akan berusaha untuk menandatangani terma pelaburan itu secepat mungkin,” katanya.

Mengenai pegangan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi dalam DNB, Zafrul berkata, pegangan ekuiti ditawarkan kepada syarikat telekomunikasi yang tidak diambil akan diagihkan semula kepada mereka yang ingin memegang ekuiti dalam DNB.

“Justeru, syarikat telekomunikasi mungkin boleh memperoleh kepentingan yang lebih besar daripada 7.78% yang ditawarkan kepada mereka sebelum ini. Bagaimanapun, tiada pelabur boleh memiliki lebih daripada 20% DNB atau 25% sekiranya berlaku penggabungan antara pemegang kepentingan ekuiti DNB.

“MoF akan memegang 30% DNB. Bagaimanapun, jika hanya beberapa syarikat telekomunikasi yang melabur dalam DNB, kementerian akan mengambil mana-mana baki saham berdasarkan pegangan saham telco maksimum 20 hingga 25%,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, majoriti pembiayaan DNB akan terus disediakan oleh pinjaman sektor swasta dan instrumen hutang dan sebarang dana yang diperoleh melalui terbitan saham baharu untuk 70% ekuiti DNB akan mengurangkan keperluan untuk pembiayaan sektor swasta tetapi tidak akan menggantikannya sepenuhnya.

“Kerajaan yakin cadangan nilai DNB memenuhi kepentingan bagi tempoh jangka panjang syarikat telekomunikasi kerana ia tidak memerlukan pelaburan perbelanjaan modal (capex) yang tinggi sambil memastikan penggunaan yang lebih tinggi dan sekali gus meningkatkan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) dan hasil keseluruhan dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Beliau juga menegaskan, bahawa tawaran ekuiti dalam DNB dibuat untuk meningkatkan perkongsian awam-swasta dan membenarkan syarikat telekomunikasi tempatan mengambil bahagian dalam rangkaian 5G dan pelancaran infrastruktur bukan untuk membantu dalam pembiayaan pelancaran 5G.

“Semua spektrum 5G akan tersedia hanya melalui DNB. DNB boleh mendapatkan pembiayaan untuk membiayai pelancaran rangkaian kerana perkhidmatan 5G sudah pasti akan mendapat permintaan di negara ini. Saya sedar DNB telah berbincang mengenai pembiayaan dengan pelbagai bank,” katanya.

Walaupun menerima banyak permohonan dalam DNB daripada pelabur domestik dan asing, Tengku Zafrul berkata, syarikat telekomunikasi Malaysia harus diutamakan, berbanding kepentingan asing.

Biarpun minat pihak lain terhadap DNB kekal kukuh, saya tidak percaya pihak lain itu akan menggantikan syarikat telekomunikasi Malaysia dalam DNB melainkan situasi memerlukan pertimbangan semula,” katanya.

Bilik Berita DNB

Berita terkini dari kami

5G: Penetapan harga peroleh tiga spektrum guna kaedah tawaran akses rujukan

DNB menjalinkan kerjasama dengan Shopee dan Syarikat Telekomunikasi untuk mempercepatkan penggunaan 5G dalam kalangan PMKS di Malaysia

5G: Penetapan harga peroleh tiga spektrum guna kaedah tawaran akses rujukan

DIGITAL NASIONAL BERHAD (DNB) UMUM PELANTIKAN AHLI LEMBAGA PENGARAH BAHARU

5G: Penetapan harga peroleh tiga spektrum guna kaedah tawaran akses rujukan

KENYATAAN DIGITAL NASIONAL BERHAD (DNB) MERUJUK ARTIKEL CHANNEL NEWS ASIA (CNA) BERTAJUK “Malaysia’s billion-dollar 5G roll-out stumbles as deal breaks down between powerful telcos, state-owned operator”